Dasar luar negeri Amerika Syarikat
Dasar luar negeri Amerika Syarikat

Dasar luar negeri Amerika Syarikat

Rencana ini sebahagian daripada siri:
Politik dan kerajaan
Amerika Syarikat
Dasar luar Amerika Syarikat ialah dasar untuk Amerika Syarikat berhubungan dengan negara-negara lain serta menetapkan piawaian interaksi untuk pertubuhan, syarikat dan warganegaranya. A.S. amat besar pengaruhnya di dunia. Jangkauan Amerika Syarikat disokong oleh sebuah ekonomi bernilai $15 trilion,[1] lebih kurang satu perempat KDNK sedunia, dan belanjawan pertahanan sebanyak $711 bilion, yang bersamaan dengan sekitar 43% perbelanjaan tentera sedunia. Setiausaha Negara A.S. merupakan menteri luar dan pegawai yang dipertanggungjawabkan dengan diplomasi sesama negara, namun presiden memegang kuasa mutlak ke atas dasar luar negara; dasar itu merangkumi penakrifan kepentingan negara serta strategi-strategi yang dipilih untuk melindungi negara dan mencapai matlamat dasar.Matlamat-matlamat rasmi dasar luar Amerika Syarikat, seperti yang disebut dalam Agenda Dasar Luar Jabatan Negara A.S., adalah "mewujudkan dunia yang lebih selamat, demokratik dan makmur demi manfaat rakyat Amerika dan masyarakat antarabangsa."[2] Selain itu, Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Dewan Perwakilan Amerika Syarikat telah menyatakan matlamat-matlamat tersendiri dalam bidang kuasanya, antaranya: "kawalan eksport, termasuk pengawalan teknologi nuklear dan perkakasan nuklear; langkah-langkah untuk memupuk perhubungan perdagangan dengan negara-negara luar serta melindungi perniagaan Amerika di luar negara; Perjanjian komoditi antarabangsa; pendidikan antarabangsa; dan perlindungan warganegara Amerika di luar negara dan ekspatriasi."[3] Dasar luar dan usaha bantuan luar AS acap kali menjadi subjek perbahasan, pujian dan bidasan di dalam dan luar negara.[4]